KENALI KAMI : PEJABAT BENDAHARI UiTM

 

 

 

Sejarah dan Latar Belakang Pejabat Bendahari

Pejabat Bendahari merupakan nadi utama pengurusan kewangan bagi seluruh sistem Universiti Teknologi MARA seperti mana yang termaktub di dalam Akta UiTM 173 (Pindaan 2000). Pada peringkat awal penubuhan Institut Teknologi MARA, Pejabat Bendahari (pada ketika itu dipanggil Bahagian Kewangan), diwujudkan untuk mengendalikan urusan kewangan Institut iaitu urusan penerimaan bayaran yuran pengajian/sumbangan daripada pelajar, pembayaran elaun kepada pelajar, gaji dan tuntutan staf, pengurusan perolehan barang/perkhidmatan/kerja, pengurusan harta benda dan pengurusan akaun. Semua urusan dibuat secara berpusat (centralised) di Pejabat Bendahari, Institut Teknologi MARA, Shah Alam. Selaras dengan perkembangan UiTM, daripada Maktab RIDA dalam tahun 1956 kepada Institut Teknologi MARA dalam tahun 1967 dan seterusnya mendapat status Universiti pada 26 Ogos 1999, skop tugas Pejabat Bendahari turut diperluaskan. Keadaan ini telah mewujudkan penubuhan Pejabat Bendahari di UiTM Cawangan serta penubuhan Unit Kewangan Zon di UiTM Induk. Pejabat Bendahari UiTM Kampus diketuai oleh Timbalan Bendahari Kanan, Timbalan Bendahari, Penolong Bendahari Kanan, Penolong Bendahari & Penolong Akauntan, mengikut bilangan pelajar dan keperluan pengurusan. Bidang tugas utama PBUiTM Kampus ialah mengendalikan urusan penerimaan hasil, kewangan pelajar, bajet, perolehan melalui Sebut Harga Rasmi dan Pembelian Terus, rekod harta benda, pembayaran dan akaun.