NAIB JOHAN : PERTANDINGAN MENULIS ARTIKEL INTEGRITI PEJABAT BENDAHARI

 

 

 

INTEGRITI DALAM PERKHIDMATAN AWAM
Karya : TN HJ SAMSUDDIN BIN MOHD AMIN (CA) (M) | PEJABAT BENDAHARI UiTM SABAH

 

Pengenalan & Definasi Integriti

Menjadi seorang pegawai kerajaan pada masa ini adalah tidak mudah. Kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tugasan yang semakin menuntut kita untuk menyampaikan perkhidmatan dengan sempurna seperti yang diharapkan oleh pemegang taruh iaitu seluruh rakyat. Untuk menepati kesempurnaan dalam penyampaian sesebuah perkhidmatan didalam perkhidmatan awam, kita harus mempunyai dan mengamakan nilai integriti yang tinggi.  Integriti berasal dari perkataan Inggeris membawa erti keutuhan dari semua segi yang baik. Mengikut Kamus Dwibahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (1985) integriti menjurus kearah perwatakan seseorang; sifat dan sikap integriti yang tinggi yang mempunyai nilai kejujuran, ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Institut Integriti Malaysia pula mentakrifkan integriti sebagai perihal sifat individu dan organisasi yang sempurna berteraskan nilai murni seperti jujur, benar, amanah, adil, bertanggungjawab, telus, cekap dan bijaksana. Pada amnya, integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi nilai keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai dan tingkahlaku individu yang menggambarkan percakapannya yang baik. Artikel ini memfokuskan kepada definisi dan kerangka konseptual nilai-nilai integriti yang perlu diterapkan sebagai asas kepada seluruh penjawat awam. Fokus kepada nilai-nilai integriti ini adalah penting kerana integriti adalah kunci kepada kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam.

 

Kepentingan Integriti dalam Perkhidmatan Awam

Perkhidmatan awam di Malaysia ditubuhkan dengan objektif utama untuk memenuhi keperluan rakyat dan memacu pembangunan negara. Bagi mencapai objektif tersebut, sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berintegriti tinggi adalah sangat signifikan agar dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan. Kepentingan integriti kepada perkhidmatan awam adalah untuk mewujudkan pentadbiran dan perkhidmatan awam yang cekap dan berdisiplin menerusi penerapan nilai-nilai murni yang dapat mengatasi masalah dan kelemahan dalam pelbagai aspek pengurusan terutamanya pengurusan kewangan (Jamiah et al., 2004).

Perubahan era politik dan ekonomi Negara kita banyak mempengaruhi evolusi nilai integriti kakitangan awam. Malah diperingkat global juga, amalan nilai  integriti amat dituntut untuk memastikan kelestarian alam ini agar menjamin keamanan dan kesejahteraan sejagat. Melihat kembali kepada kemajuan dan perkembangan sektor awam dinegara kita, terlalu banyak isu yang berlaku didalam penyampaian perkhidmatan awam. Rakyat amat menuntut kakitangan awam menyampaikan perkhidamatan dengan sempurna dan berintegriti. Isu ketirisan wang kerajaan, salahlaku seperti pecah amanah, ketidakadilan dalam membuat keputusan, rasuah, kecuaian pengurusan, pembaziran wang dan pelbagai lagi kesalahan yang berkaitan dengan kelemahan dan ketiadaan nilai integriti yang tinggi didalam penyampaian perkhidmatan awam sering berlaku dan ianya menjadi dilema didalam perkhidmatan awam. Mengambil contoh laporan media Berita Harian bertarikh 15hb November 2018; mengenai ‘persepsi umum’ yang membina gambaran bahawa seolah-olah anggota perkhidmatan awam berada dalam situasi krisis moral serta perlakuan di luar batas etika yang merosakkan wibawa serta merendahkan kepercayaan serta keyakinan terhadap kredibiliti sektor perkhidmatan awam di Negara ini. Hakikat ini, semakin terserlah apabila sidang Parlimen pada 9 November 2017 memaklumkan bahawa seramai 31,230 orang anggota perkhidmatan awam dikenakan tindakan tatatertib, khususnya di antara 2010 hingga Julai 2017. Pada masa sama dimaklumkan seramai 5,778 orang anggota perkhidmatan awam dibuang kerja atas pelbagai kesalahan yang mana ketiadaan nilai integrity menjadi punca salah laku tersebut. Berdasarkan perangkaan yang dikemukakan berkaitan prestasi disiplin anggota perkhidmatan awam, berbanding keseluruhan anggota perkhidmatan awam berjumlah hampir 1.2 juta orang, peratusan yang terbabit dengan salah laku perlanggaran tatatertib secara umumnya dalam lingkungan 2.5 peratus sahaja. Namun, nilai yang kecil ini telah mempengaruhi keseluruhan persepsi rakyat di negara ini bahawa pegawai kerajaan tidak mengamalkan nilai integriti yang baik.

Pegawai kerajaan yang berintegriti tinggi merupakan aset penting terhadap kejayaan sektor perkhidmatan awam di Negara ini. Sifat amanah, telus, bertanggungjawab dan berkhidmat demi kepentingan awam merupakan intipati kepada istilah integriti dan etika. Dengan kata lain integriti dan etika dalam pekerjaan dan organisasi bukan sekadar penglibatan diri individu untuk menyediakan keperluan dirinya sahaja sebaliknya melibatkan tindakan baik yang dilakukan dalam kerja dan semua ini mempunyai kaitan erat dengan ajaran agama dan tanggungjawab sebagai manusia.  Pada era pentadbiran Kerajaan baharu ini, tuntutan terhadap nilai integriti yang tinggi telahpun diberi perhatian serius dalam kalangan kakitangan awam. Pelbagai kajian ilmiah yang telah dibuat memperakui bahawa integriti amat penting diamalkan oleh semua pekerja dan penjawat awam dalam sesebuah organisasi demi meningkatkan mutu perkhidmatan yang unggul dan berkesan (Ayop Megat et al., 2016). Sektor perkhidmatan awam sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran kelemahan amalan integriti dan ianya boleh menjejaskan prestasi, produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam dan secara tidak langsung ini mengancam masa depan Negara ini. Pengabaian amalan nilai integriti boleh membuka peluang untuk berlakunya penyelewengan, rasuah, salah laku dan salah guna kuasa dalam sesebuah organisasi (Jamiah et al., 2007).

 

Ilmu & Akidah (Akhlak) Pemacu Integriti

Penyelesaian kepada kemelut integriti pegawai kerajaan boleh di fokuskan dalam konteks pribadi. Dalam konteks peribadi, individu perlu mengawal hawa nafsu, menyucikan hati, bertaqwa kepada Allah serta memantapkan aqidah dan akhlak tepuji. Bagi yang beragama selain dari agama Islam, nilai-nilai murni ajaran agama masing-masing hendaklah di hayati dan dipatuhi. Secara dasarnya integriti terbentuk daripada kekuatan rohani dan kesucian aqidah tauhid (M. Kamal Hasan, 2004). Nilai Integriti boleh dikekalkan dengan mewujudkan persekitaran kerja yang berbudaya murni dan hukuman yang konsisten dikenakan kepada pesalah (Mikulay & George, 2001). Pembangunan nilai integriti memerlukan perubahan dalam budaya organisasi dan pendidikan dengan menumpukan kepada pembentukan moral komuniti (Hardingham, 2004). Pendapat ini selaras dengan Musschenga (2001), yang menekankan kepada pendidikan sebagai pendekatan utama kepada pembangunan integriti untuk memahami falsafah dan kepentingannya serta menjadikannya sebagai sebahagian daripada identiti diri setiap penjawat awam.

Ilmu merupakan teras utama kepada integriti. Ilmu dalam konteks ini adalah pegetahuan dan kefahaman tentang falsafah, nilai, kepentingan dan tujuan integriti dengan jelas dan mendalam (Jamiah et al., 2007). Dengan ilmu ini, ianya akan memberikan kesedaran untuk menghayati nilai integriti bagi mencapai kesempurnaan dalam menyampaikan perkhidmatan. Pegawai kerajaan yang mempunyai ilmu yang mencukupi akan lebih bermotivasi untuk menghayati nilai-nilai integriti secara mendalam dan menjadikan ianya sebagai nilai yang sebati dengan dirinya. Pegawai awam yang berilmu dan bermotivasi ini akan berusaha untuk memberikan komitmen sepenuhnya terhadap nilai yang dipegang dalam setiap tutur kata dan tindakannya. Dengan itu, pegawai awam ini akan mempunyai integriti yang tinggi apabila tindakannya selaras dengan nilai-nilai murni yang difahami dan diamalkannya.

Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang, Penjawat awam seharusnya bijak mengurus sumber dan kemahiran ilmiah, mempunyai budaya etika yang baik dan amanah serta berintegriti tinggi. Cabaran besar yang perlu ditangani dalam usaha tersebut ialah pemantapan etika dan integriti dalam sesebuah organisasi. Budaya etika dan integriti adalah selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etika serta para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh berteraskan budi pekerti yang luhur.

 

RUJUKAN;

Berita Harian bertarikh 15hb November 2018

Hardingham, L. B., (2004). Integrity and Moral Residue: Nurses as Participants in a Moral Community, Nursing Philosophy, Jul 2004, Vol. 5.

Intitut Integriti Malaysia, website http://integriti.my/

Jamiah Manap, Azimi Hamzah, Ezhar Tamam, Sidek Mohd. Noah, Amini Amir, Norizan Yahaya, Halimah Alma Othman, Hanina Halimatus Saadiah Hamsatun (2007) Pemantapan Nilai Integriti Individu sebagai Teras Pembangunan Staf Berkualiti. Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Kamus Dwibahasa DBP (1985)

Megat Ayop Megat Arifin dan  Abd. Halim Ahmad, (2016). Kepentingan budaya integriti dan etika kerja dalam organisasi di Malaysia: Suatu tinjauan umum.

Kamal Hassan, (2004). Kepincangan Nilai dalam Masyarakat Global, Kolokium Pengukuhan Integriti, Institut Kefahaman Islam Malaysia pada Jun 2004.

Mikulay, S. N. and George, F. L., (2001). Counterproductive Workplace Behaviors, Genetic, Social & General Psychology Monographs, 87567547, Aug2001, Vol. 127.

Musschenga, A. W., (2001). Education for Moral Integrity, The Journal of The Philosophy of Education, Vol. 35, No. 2, 2001.