JOHAN : PERTANDINGAN MENULIS ARTIKEL INTEGRITI PEJABAT BENDAHARI

 

 

 

INTEGRITI DALAM PERKHIDMATAN AWAM
Karya : PN RAHIMAH LATI | UNIT KEWANGAN ZON 4 | PEJABAT BENDAHARI UiTM SHAH ALAM

 

Adakah anda masih ingat, sewaktu kecil dahulu acap kali kedua-dua ibu bapa kita berpesan, “apabila bercakap, bercakaplah dengan sopan”, “apabila berkata, berkatalah dengan benar”, “apabila berjanji, janji perlu ditepati” atau “apabila menerima sesuatu, ucapkanlah terima kasih”. Pesanan sebegini sepatutnya dijadikan sebagai panduan untuk mencorakkan keperibadian yang baik dalam diri. Lebih-lebih lagi apabila memegang status sebagai penjawat awam, nilai-nilai moral yang tinggi sangat diperlukan untuk menjadi pekerja yang berintegriti dalam memikul amanah dan tanggungjawab khususnya dalam Perkhidmatan Awam.

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), integrity bermaksud kejujuran, keadaan sempurna dan utuh. Gordon dan Milakovich (1995) pula mendefinisikan perkhidmatan atau pentadbiran awam sebagai segala proses, organisasi atau individu yang terlibat dengan pelaksanaan undang-undang dan peraturan yang diputuskan oleh badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Di Malaysia umumnya, Perkhidmatan Awam merujuk kepada sebuah institusi kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan dasar serta peraturan untuk pembangunan dan diperuntukkan dengan pelbagai kuasa dan sumber, seperti kewangan, kakitangan, teknologi dan sebagainya. Melalui konteks pekerjaan atau perkhidmatan kakitangan pula, seseorang individu atau sesebuah organisasi perlu merangkumi sifat-sifat integriti yang menyeluruh berdasarkan nilai-nilai murni sejagat termasuk aspek akauntabiliti.

Justeru, untuk melangkah ke masa hadapan yang lebih cemerlang, kita seharusnya perlu bijak menguruskan diri dalam organisasi supaya penyampaian kerja dalam Perkhidmatan Awam lebih beretika, sekali gus dapat menjadi kakitangan yang amanah serta berintegriti. Contohnya melalui jabatan atau organisasi, setiap pekerja yang berjaya mempamerkan perkhidmatan terbaik turut diberikan anugerah. Sebagai tanda menghargai pekerja dan sumbangan titik peluh pekerja dalam membantu membangunkan negara, tarikh 1 Mei dipilih sebagai hari cuti umum sejak empat dekad lalu bagi meraikan sambutan Hari Pekerja atau turut dikenali sebagai Hari Buruh. Cuti umum Hari Pekerja tersebut telah diumumkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul rahman, pada 20 Mei 1972. Walau bagaimanapun, tidak semua penjawat awam dalam negara ini mengamalkan budaya integriti seperti yang ditetapkan.

Kebelakangan ini banyak diperkatakan mengenai isu melibatkan kebertanggungjawaban dan integriti khususnya dalam kalangan penjawat awam. Isu berkenaan penyalahgunaan kuasa, pembaziran, pecah amanah, rasuah dan penyelewengan wang membelenggu segelintir penjawat awam untuk kepentingan peribadi. Hal ini terjadi apabila sikap tidak amanah dan tidak jujur kerana ketamakan harta, duit dan kehausan kuasa menjadi punca berlakunya konflik peribadi yang hanya mementingkan diri sendiri. Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan rasuah dalam usaha kerajaan menetapkan matlamat jelas untuk mencapai visi nasional sebagai negara bebas rasuah dilihat memberi kesan yang positif. Dalam penyediaan pelan ini, beberapa bidang berisiko yang terdedah kepada perlakuan rasuah juga sudah dikenal pasti oleh kerajaan melalui kajian daripada pelbagai sumber dan sesi Perancangan Senario.

Dalam masa yang sama, pelan ini diwujudkan bertujuan menghapuskan penyalahgunaan kuasa, mengekang campur tangan politik, menghentikan kronisme dan nepotisme serta menghapuskan penyelewengan serta kelemahan tadbir urus. Sektor Perkhidmatan Awam pada masa kini dilihat tenat kerana dibelenggu krisis integriti apabila sering kali dikaitkan dengan kes rasuah sehingga terdapat segelintir pekerja dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pelbagai jenis penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah kini sangat membimbangkan.

Suapan juga boleh terdiri daripada bentuk wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah mahupun diskaun. Berdasarkan Akta SPRM 2009 (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama, iaitu meminta atau menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a), menawar atau memberi suapan [seksyen 17(b), mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18] serta menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan Pegawai badan awam [seksyen 23]. Sebagai contoh, dapat dilihat berdasarkan kes penahanan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis bersama dua lagi individu pada 30 Januari lalu oleh SPRM kerana disyaki terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa. Hasil siasatan SPRM mendapati, suspek dipercayai memiliki kekayaan bernilai jutaan ringgit membabitkan pelbagai aset mewah, termasuk memiliki kilang memproses air di Perlis.

Justeru, setiap pekerja dalam Perkhidmatan Awam seharusnya memahami bahawa jenayah rasuah boleh mendatangkan kesan buruk kepada individu dan keluarga yang terlibat, membantutkan ekonomi negara, mengancam keselamatan negara dan menggalakkan berlakunya jenayah lain yang lebih besar. Pengurusan disiplin yang berkesan bukan sahaja akan meningkatkan prestasi kerja, malah dapat mengurangkan salah laku jenayah dalam organisasi. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab semua khususnya dalam kalangan anggota Perkhidmatan Awam membentuk budaya kerja kelas pertama dengan memperkukuh penghayatan nilai integriti dalam diri, dan bertindak di atas landasan profesionalisme dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Hal ini secara tidak langsung dapat menentukan kestabilan sistem serta kemantapan Pengurusan Pentadbiran Negara dalam Perkhidmatan Awam yang cekap dan berkesan.

 

Bibliografi


Dr. Kamarudin Musa. “Mantapkan integriti Perkhidmatan Awam” dlm. Berita Harian Online, 15 November 2018. Capaian pada [22 Julai 2019]. https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2018/11/498223/mantapkan-integriti-perkhidmatan-awam

Gordon, George J. & Milakovich, Michael E. (1995). Public Administration in America. New York: St. Martin’s Press.

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2007.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Malaysia.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. 2017. Panduan Pendidikan Pencegahan Rasuah di Sekolah. Putrajaya: Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Rohaniza Idris. “NACP ganti Pelan Integriti Nasional (PIN), NKRA perangi rasuah” dlm. Berita Harian Online, 29 Januari 2019. Capaian pada [18 Julai 2019]. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/01/525281/nacp-ganti-pelan-integriti-nasional-pin-nkra-perangi-rasuah

Suzalina Halid. “Penjawat Awam Alami Krisis Integriti” dlm. Berita Harian Online, 3 Februari 2018. Capaian pada [18 Julai 2019]. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/02/384149/penjawat-awamalami-krisis-integriti