|
15 - 17 Mei 2026 - Telah berlangsung Program Libat Urus Penambahbaikan Dasar Perolehan Baharu UiTM bersama Pengurusan Kanan Jabatan Bendahari UiTM bertempat di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) UiTM, Bandar Enstek, Negeri Sembilan. Program anjuran Bahagian Perolehan dan Aset, Jabatan Bendahari UiTM ini telah dihadiri oleh Bendahari UiTM, Cik Junita Jamaludin dan Pengurusan Kanan Jabatan Bendahari UiTM serta beberapa wakil kewangan bahagian dan kampus.
Libat urus penambahbaikan dasar ini merupakan langkah strategik dalam memantapkan lagi polisi dan tadbir urus perolehan universiti agar selari dengan peraturan semasa. Ini adalah bagi memastikan setiap pengurusan perolehan dilaksanakan dengan tepat tanpa mengenepikan elemen integriti dan ketelusan. Libat urus ini juga merupakan sinambungan dari sesi Libat Urus yang telah diadakan pada 28 - 30 Januari 2026 yang lalu bersama penglibatan wakil dari Kementerian Pendidkan Tinggi (KPT). Usai dari maklum balas dan dapatan dari sesi libat urus tersebut serta pertanyaan susulan, sesi kali ini adalah bagi membincangkan dan mendapatkan maklum balas dari pengurusan kanan serta wakil-wakil kewangan kampus dan bahagian berkaitan cadangan kemaskini pelaksanaan pengurusan perolehan yang akan ditambahbaik. Ini adalah bagi memastikan pemakaian dan pelaksanaan yang dicadangkan mampu berjalan dan sesuai dengan lancar di setiap Pusat Tanggungjawab seluruh sistem UiTM. Semoga hasil daripada libat urus ini memacu UiTM ke arah pengurusan perolehan yang lebih dinamik, telus, dan berintegriti tinggi! Ayuh! Penulis : Mohd Fairol Ismangil
Bahagian Perolehan dan Aset
|


