3 Februari 2026 , ILD UiTM Bandar Enstek - Jabatan Bendahari UiTM terus memperkukuh tadbir urus dan pengurusan kewangan universiti menerusi penganjuran Amanat Bendahari 2026 yang berlangsung pada 3 Februari 2026, jam 3.30 petang, secara hibrid di Auditorium Perdana, Institut Latihan & Pembangunan (ILD) UiTM Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, serta secara dalam talian.
Majlis ini telah dihadiri secara fizikal oleh pegawai-pegawai Jabatan Bendahari dari seluruh kampus, serta wakil staf dari Bahagian Kewangan UiTM Cawangan Negeri Sembilan (Kampus Kuala Pilah dan Rembau) dan UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil.
|
Mengangkat tema “Amanah Teras Kepimpinan Kewangan”, amanat ini menjadi landasan strategik dalam memperkukuh integriti, kecekapan serta keberkesanan pengurusan kewangan universiti. Penekanan amanat dizahirkan melalui tiga fokus strategik utama bagi memastikan kelestarian kewangan UiTM. Fokus Pertama: Kemampanan Kewangan Universiti menekankan pelaksanaan Fasa Pemulihan Pelan Kewangan UiTM, pengukuhan governan penjanaan pendapatan serta peluasan digitalisasi dalam pengurusan kewangan bagi memastikan kelestarian dan daya tahan kewangan universiti dalam jangka panjang. Fokus Kedua: Governan dan Kepimpinan memberi penumpuan kepada usaha melahirkan pemimpin unggul, memantapkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan ketampakan (visibility) Jabatan Bendahari sebagai peneraju pengurusan kewangan yang berwibawa dan diyakini. Fokus Ketiga: Kecemerlangan Modal Insan pula memfokuskan kepada pengukuhan pembudayaan integriti, peningkatan kompetensi warga serta penambahbaikan kesejahteraan warga sebagai pemangkin kepada prestasi organisasi yang cemerlang dan mampan. Secara keseluruhannya, Amanat Bendahari 2026 menjadi platform penting dalam menyatukan hala tuju secara strategik, memperkukuh komitmen serta menyemarakkan semangat kebersamaan warga Jabatan Bendahari dan UiTM dalam mendepani cabaran Pengurusan Kewangan Universiti secara amanah, integriti, strategik dan berimpak tinggi. Penulis : NUR FARHANA BINTI ABD KARIM C.A. (M) |
Klik SINI Untuk Maklumat Selanjutnya



