KUNJUNGAN HORMAT MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP) UiTM SHAH ALAM SESI 2025/2026 KE JABATAN BENDAHARI UiTM SHAH ALAM

 

8 Januari 2026, Shah Alam - Jabatan Bendahari UiTM Shah Alam telah menerima kunjungan hormat daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam Sesi 2025/2026 pada 8 Januari 2025 (Khamis) bertempat di Bilik Mesyuarat Sidang, Aras 3, Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam. Kunjungan yang berlangsung selama hampir 2 jam ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik serta memupuk persefahaman antara pihak pengurusan Jabatan Bendahari dan wakil pelajar.

Kunjungan hormat ini dihadiri oleh barisan Pengurusan Kanan Jabatan Bendahari termasuk Bendahari UiTM, Cik Junita Jamaludin dan beberapa pegawai Jabatan Bendahari serta tujuh (7) wakil dari MPP UiTM Shah Alam sesi 2025/2026 yang diketuai oleh Naib Yang Dipertua (YDP), Encik Ajwad Syakirin Mohd Asri dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM). Turut hadir ke sesi ini adalah Professor Dr. Ismie Roha Mohamed Jais, Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) sebagai sokongan pihak pengurusan universiti terhadap usaha penglibatan pelajar dalam tadbir urus institusi.

Sesi dimulakan dengan ucapan aluan oleh Bendahari UiTM, diikuti dengan sesi pengenalan barisan pengurusan Jabatan Bendahari dan wakil MPP.

MPP telah membentangkan struktur organisasi beserta visi, misi, hala tuju dan slogan MPP. Mereka turut membentangkan cadangan program berimpak tinggi yang akan dianjurkan. Perbincangan dua hala yang berlangsung dalam suasana terbuka dan profesional ini memberi ruang kepada pertukaran pandangan secara kondusif serta meningkatkan kefahaman bersama antara pihak pengurusan dan wakil pelajar.

Secara keseluruhannya, kunjungan hormat Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam Sesi 2025/2026 ke Jabatan Bendahari UiTM Shah Alam mencapai objektif sebagai medium komunikasi dan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak. Jabatan Bendahari merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak MPP atas kunjungan ini dan berharap hubungan baik yang terjalin akan terus diperkukuh demi kesejahteraan warga UiTM secara keseluruhan.

Penulis : Aina Syahida binti Suzaimi | Penolong Bendahari