Lawatan Penanda Aras ke CiRNeT UPM Perkukuh Kerjasama Strategik

 

 

UPM, 4 Disember 2025 -  Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Jabatan Bendahari dengan kerjasama Institut Latihan dan Pembangunan (ILD), Bandar Enstek telah melaksanakan satu lawatan penanda aras strategik ke Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (Centre for Industry Relations and Network – CiRNeT), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UiTM dalam memperkukuh tadbir urus latihan profesional serta kerjasama strategik universiti secara mampan.

CiRNeT ialah sebuah pusat strategik di bawah UPM yang berfungsi sebagai penghubung utama antara universiti dan industri. Peranan teras CiRNeT merangkumi pemupukan kerjasama strategik dengan rakan industri melalui penyediaan program latihan profesional, latihan industri, penyelidikan bersama serta pembangunan modal insan yang selari dengan keperluan dan kehendak industri semasa. Pendekatan berfokuskan industri ini membolehkan kepakaran akademik dimanfaatkan secara optimum ke arah penciptaan nilai bersama yang berimpak tinggi.

Seiring dengan mandat tersebut, CiRNeT UPM turut berdaftar dan diiktiraf sebagai Penyedia Latihan (Training Provider) oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp). Pengiktirafan ini membolehkan program latihan yang dianjurkan diiktiraf di bawah Dana HRD Corp, sekali gus memberi kelebihan strategik kepada universiti dan industri. Antara manfaat utama pendaftaran ini termasuk latihan yang dianjurkan boleh dituntut (claimable) oleh majikan, pengiktirafan sebagai latihan pembangunan kemahiran tenaga kerja industri, serta peningkatan penyertaan industri kerana kos latihan dapat dibiayai melalui levi HRD Corp.

Delegasi UiTM yang diketuai oleh Puan Noor Alzura binti Alang Idris, C.A (M), Pengarah Kewangan, Bahagian Kewangan Korporat, Jabatan Bendahari, telah disambut oleh Prof. Madya Dr. Sudesh Prabhakaran, Timbalan Pengarah (Pemajuan Profesional) CiRNeT UPM. Sesi lawatan dan perbincangan telah memberi pendedahan menyeluruh berkaitan peranan dan fungsi CiRNeT, prosedur dalaman tuntutan kepada HRD Corp, ketetapan polisi agihan pendapatan, serta perancangan strategik pelaksanaan program latihan.

Secara keseluruhan, lawatan penanda aras ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada Jabatan Bendahari dan ILD UiTM untuk sebagai Penyedia Latihan HRD Corp serta dijadikan sebagai salah satu inisiatif perancangan strategik universiti dalam usaha meningkatkan penjanaan dana sumber dalaman universiti secara mampan. Usaha ini selaras dengan komitmen UiTM dalam memperkukuh kelestarian kewangan, memacu pembangunan modal insan dan memperluas jalinan kolaborasi strategik bersama industri ke arah kecemerlangan berterusan.

Disediakan Oleh : Nur Faizahton binti Fisal C. A (M)

Disemak/Lulus oleh : Noor Alzura binti Alang C. A (M)