
Shah Alam, 22 Disember 2025 – Jabatan Bendahari Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila dianugerahkan Anugerah Pembentangan Terbaik serta Naib Juara kategori Jabatan/Bahagian sempena Majlis Kemuncak Bulan Inovasi dan Kualiti UiTM 2025.
|
Majlis berprestij tersebut telah berlangsung pada Isnin, 22 Disember 2025 bertempat di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam dan menghimpunkan staf merentas jabatan, bahagian dan kampus dari seluruh sistem UiTM yang mempamerkan inisiatif inovasi, penambahbaikan proses kerja dan amalan pengurusan berkualiti melalui pengiktirafan Anugerah Global Prominent Award, Anugerah Kecemerlangan Operasi (OE), Anugerah Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) dan Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC). Pengiktirafan yang diterima Jabatan Bendahari mencerminkan kejayaan dalam menerapkan amalan inovasi dan pengurusan kualiti secara strategik dan berimpak tinggi, sejajar dengan hala tuju UiTM ke arah kecemerlangan organisasi yang mampan. Pembentangan yang dikemukakan telah menonjolkan pendekatan menyeluruh jabatan dalam memperkukuh tadbir urus kewangan, mengoptimumkan proses kerja dan memanfaatkan pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan. Pengiktirafan Anugerah Pembentangan Terbaik membuktikan kejelasan naratif, ketepatan informatif dan kandungan serta keberkesanan penyampaian yang menzahirkan keselarasan antara inisiatif strategik, pelaksanaan dan hasil yang dicapai. Manakala penganugerahan sebagai Naib Juara kategori Jabatan/Bahagian pula mengiktiraf prestasi keseluruhan Jabatan Bendahari dalam memacu budaya kerja berasaskan penambahbaikan berterusan dan nilai kualiti merentas fungsi di peringkat Jabatan dan Bahagian UiTM. Pencapaian ini merupakan hasil kepimpinan yang berfokus, komitmen berterusan serta kerjasama erat seluruh warga Jabatan Bendahari dalam menjayakan agenda transformasi pengurusan kewangan universiti. Usaha ini turut menyokong aspirasi UiTM untuk terus kekal relevan, berdaya saing dan berintegriti dalam landskap pendidikan tinggi yang dinamik. Jabatan Bendahari UiTM merakamkan setinggi penghargaan kepada pengurusan tertinggi Universiti atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan, serta kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam merealisasikan kejayaan ini. Pengiktirafan yang diterima menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh inovasi, kualiti dan tadbir urus kewangan demi kecemerlangan berterusan UiTM.
Dikarang Oleh : MOHD RAFIDI BIN MOHD SAMAN CHRO, MMIHRM Disemak/ Lulus Oleh : MOHD ZULKAMAR BIN JOHARI C.A. (M) |


