
Shah Alam, 30 Oktober 2025 - Jabatan Bendahari Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melakar satu lagi pencapaian bermakna apabila berjaya mara sebagai finalis Pembentangan Akhir Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) 2025, yang telah diadakan pada 30 Oktober 2025 bertempat di Dewan Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam.
|
Pembentangan Jabatan Bendahari telah disampaikan oleh Cik Junita binti Jamaludin, Bendahari UiTM, dengan mengetengahkan bidang tumpuan Pengurusan Kewangan sebagai fokus utama. Sesi pembentangan ini menonjolkan komitmen jabatan dalam memperkukuh kecekapan tadbir urus kewangan universiti melalui pendekatan strategik, inovatif dan mampan, sejajar dengan Pelan Strategik Jabatan Bendahari dan Pelan Kewangan UiTM. Melalui pembentangan tersebut, Jabatan Bendahari telah memperincikan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dalam Pengurusan Kewangan Universiti, termasuk transformasi digital, pemantapan kawalan dalaman, serta pemerkasaan budaya integriti dan akauntabiliti kewangan di semua peringkat organisasi. Usaha ini turut menzahirkan pelaksanaan prinsip ADLI (Approach, Deployment, Learning, Integration) dan LeTCI (Level, Trend, Comparison, Importance) yang menjadi tunjang kepada model anugerah tersebut. Penyertaan dalam AKNC bukan sahaja menjadi medan penilaian terhadap keberkesanan sistem pengurusan yang diamalkan, malah berperanan sebagai platform pembelajaran organisasi bagi menilai kekuatan, jurang dan peluang penambahbaikan berterusan dalam amalan pengurusan kewangan. Penyertaan dalam AKNC ini juga, merupakan cerminan kualiti jabatan kepada usaha kolektif seluruh warga Jabatan Bendahari dalam menjadikan pengurusan kewangan sebagai tulang belakang yang berimpak dan berdaya tahan kepada kecemerlangan Universiti. Dalam pembentangannya, Cik Junita binti Jamaludin menzahirkan, “Dalam setiap keputusan, ada tanggungjawab. Dalam setiap angka ada harapan. Jabatan Bendahari menjadi nadi kewangan universiti - memastikan UiTM terus mampan lestari dan bermakna untuk generasi akan datang,” ujar beliau. |


