BENGKEL PENINGKATAN TADBIR URUS KEWANGAN HOTEL UiTM : Mengarusperdanakan Keutuhan Tadbir Urus Pintar Kewangan Hotel UiTM

 

 

SHAH ALAM, 13-14 Oktober 2025 - Bengkel Peningkatan Tadbir Urus Kewangan Hotel UiTM 2025 telah berlangsung pada 13 hingga 14 Oktober 2025 bertempat di Dewan Sri Impian, Hotel UiTM Shah Alam. Program ini menghimpunkan para pengurus serta wakil pengurusan daripada rangkaian Hotel UiTM di Shah Alam, Puncak Alam, Terengganu dan Pulau Pinang.

Bengkel ini dianjurkan secara kolaboratif oleh Hotel UiTM Shah Alam bersama Accounting Research Institute (ARI) UiTM dengan objektif memperkukuh kecekapan, ketelusan dan penyeragaman amalan pengurusan kewangan di semua Hotel UiTM. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Cik Junita Binti Jamaludin, Bendahari UiTM, manakala ucapan aluan disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Onn Rashdi, Pengurus Besar Hotel UiTM Shah Alam yang mewakili Profesor Dr. Norzuwana Sumarjan, Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FHPH).

Program yang diketuai oleh Puan Nur Faizahton Fisal, Pengawal Kewangan Hotel UiTM Shah Alam, dan turut dihadiri oleh Puan Norhafizah Che Mat, Pengarah Kewangan Bahagian Pentadbiran dan Dasar Kewangan serta Puan Noor Alzura Alang Idris, Pengarah Kewangan Bahagian Kewangan Korporat, UiTM. Kehadiran mereka menyerlahkan komitmen padu universiti dalam memperkukuh tadbir urus dan keutuhan kewangan institusi.

Bengkel ini turut menampilkan penceramah berpengalaman daripada ARI dan Fakulti Perakaunan UiTM, antaranya Prof. Dr. Sharifah Norzehan Syed Yusuf, Prof. Madya Dr. Norziaton Ismail Khan, Datin Marshita Hashim, dan Dr. Nurhidayah Yahya. Pelbagai topik penting seperti Analisis SWOT, Pengiraan Kos, kaedah FIFO dan LIFO serta penanda aras dibincangkan secara mendalam bagi memperkukuh asas pengurusan kewangan hotel universiti.

Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel ini mencerminkan usaha berterusan UiTM dalam mempertingkatkan profesionalisme, integriti serta tadbir urus kewangan yang lestari bagi memperkukuh daya saing dan reputasi Hotel UiTM sebagai institusi hospitaliti universiti yang unggul.