HARMONISASI PENYELARASAN DAN PIAWAIAN PERAKAUNAN WAKAF : Perbincangan Antara Jabatan Bendahari UiTM Dan Perbadanan Wakaf Selangor Perkukuh Jalinan Ke Arah Ketelusan dan Keutuhan Dana Wakaf

 

 

Shah Alam, 18 September 2025 – Satu sesi perbincangan dua hala telah berlangsung di antara Bahagian Kewangan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan Jabatan Bendahari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Pertemuan ini diadakan di Bilik Mesyuarat PWS, Tingkat 10, Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam.

Delegasi UiTM diketuai oleh Puan Alzura Binti Alang, Pengarah Kewangan Bahagian Kewangan Korporat (BKK), manakala pihak PWS diketuai oleh Encik Hafiz Bin Ismail, Pengurus Bahagian Kewangan. Turut hadir ialah Encik Mohd Zulkamar, Pengarah Kewangan Bahagian Pengurusan Akaun & Sistem (BPAS); Puan Nur Faizahton Binti Fisal, Pengarah Kewangan Bahagian Akaun Amanah (BAA); Encik Mohd Zaki Bin Ahmad Zabidi (BAA); Encik Shrizal Bin Shadan (BAA); serta Puan Nazirah Binti Najib (BPAS). Perbincangan turut disertai dua wakil Bahagian Zakat, Wakaf dan Sedekah (ZAWAF) UiTM iaitu Ustaz Haji Idris Bin Abdullah, Timbalan Pendaftar, dan Encik Mohd Izwan Bin Ruslan, Ketua Unit Kutipan & Pasaran.

Perbincangan memberi fokus kepada pengurusan kewangan wakaf, termasuk tatacara pengurusan aset, wakaf tunai, pengagihan dana serta pelaksanaan projek-projek wakaf. Antara aspek penting yang dibincangkan ialah keperluan memperkukuh dan mengharmonisasikan polisi perakaunan agar perekodan wakaf lebih telus, konsisten dan mematuhi piawaian.

Ketika ini, PWS mengguna pakai Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW), manakala UiTM menggunakan MPSAS. Kedua-dua pihak sependapat bahawa penyelarasan piawaian ini akan memudahkan pelaporan kewangan selain meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan pengurusan dana wakaf.

Pertemuan ini juga membuka peluang kerjasama strategik antara UiTM dan PWS dalam menjayakan agenda wakaf pendidikan. UiTM berhasrat memperkukuh mekanisme dalaman perekodan wakaf agar lebih sistematik dan seragam di semua cawangan. Usaha ini selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi yang menjadikan wakaf sebagai sumber alternatif mampan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.

Penulis : SHRIZAL BIN SHADAN

Editor : NUR FAIZAHTON BINTI FISAL C.A. (M)

Tarikh : 22 September 2025 | 12:32 pm