
28 Ogos 2025, Shah Alam – Bahagian Perolehan dan Aset, Jabatan Bendahari UiTM Shah Alam menganjurkan Kursus Perolehan dengan tajuk Spesifikasi Mantap, Perolehan Tepat. Amalan Terbaik Kementerian Kewangan (MoF).
Kepentingan kursus ini adalah disebabkan spesifikasi merupakan aspek penting dalam melaksanakan sesuatu perolehan sebagai panduan kepada syarikat untuk menawarkan bekalan / perkhidmatan am yang tepat mengikut kehendak UiTM. Kelemahan dalam penyediaan spesifikasi bekalan / perkhidmatan am dalam sesuatu perolehan telah menjadi salah satu faktor pembekalan tidak mengikut spesifikasi sekaligus termasuk didalam kesalahan utama dalam perolehan awam.
|
Objektif kursus ini adalah sebagai satu platform pemindahan ilmu pengetahuan tentang kepentingan penyediaan spesifikasi bekalan dan perkhidmatan am dalam sesuatu perolehan. Seterusnya, intipati kursus ini membantu meningkatkan pemahaman dan kemahiran staf dalam melaksanakan proses penyediaan spesifikasi serta penyediaan dokumen spesifikasi teknikal bagi memastikan UiTM mendapat bekalan atau perkhidmatan am yang dikehendaki, mencapai objektif dan keberhasilan yang ditetapkan. Akhir sekali, objektif kursus ini untuk mengenalpasti kriteria / asas – asas dan perkara do’s and don’ts dalam proses penyediaan spesifikasi bekalan / perkhidmatan am bagi mengelakkan kekeliruan kepada pihak syarikat semasa penawaran. Kursus ini dijalankan secara hibrid dimana peserta hadiri kursus secara atas talian, manakala Urus Setia Kursus bersama Penceramah hadiri kursus bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Bahagian Perolehan dan Aset. Kursus ini dikendalikan oleh Encik Mohd Nurhairol bin Ruzaini, Ketua Penolong Setiausaha Perolehan, Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan. Peserta jemputan kursus ini adalah terdiri daripada Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan, dan Jawatankuasa Sebut Harga Rasmi dari UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Kampus. Sesi Libat Urus Berkaitan Perolehan UiTM Bersama MoF dijalan kan pada hari yang sama sejurus selesai kursus perolehan di atas. Sesi ini dihadiri oleh Encik Mohd Nurhairol Bin Ruzaini, sebagai Wakil MoF; lima (5) orang pegawai Jabatan Pembangunan UiTM Shah Alam, diketuai oleh Ir. Ts. Azman Bin Saubiran; serta lima (5) orang pegawai Bahagian Perolehan dan Aset, Jabatan Bendahari UiTM Shah Alam, diketuai oleh Puan Nor Yusnita Binti Mohamed Yusoff. Sesi libat urus ini membincangkan perkara – perkara berkaitan dasar – dasar perolehan bekalan, perkhidmatan am, kerja dan perkhidmatan fasiliti. Sesi ini menjadi platform kepada UiTM, amnya, mendapatkan pencerahan dan penjelasan lanjut berkaitan pindaan keatas dasar – dasar perolehan Kerajaan. Secara keseluruhannya, kursus perolehan dan sesi libat urus ini mencapai objektif - objektifnya serta memperolehi bilangan penyertaan dan maklum balas yang amat memberangsangkan daripada para peserta seluruh sistem UiTM. Akhir sekali, diharap ilmu pengetahuan yang diterima ini dipraktiskan di dalam penyediaan spesifikasi perolehan dan proses kerja sesuatu perolehan itu. Penulis : INTAN BAIZAH BINTI ABD AZIZ C.A. (M) Editor : NOR YUSNITA BINTI MOHAMED YUSOFF C.A. (M)
|


