
|
ILD, UiTM Bandar Enstek, 2-3 September 2025 - Institut Kualiti dan Keupayaan Akademik (INQKA) telah berjaya menganjurkan Kursus Jurulatih Operational Excellence (OE) yang dirangka khusus bagi memperkukuh budaya kecemerlangan operasi, selain memantapkan keupayaan warga UiTM dalam mengadaptasi amalan penambahbaikan berterusan yang setanding dengan piawaian global. Jabatan Bendahari UiTM tampil proaktif diwakili oleh empat orang pegawai terpilih iaitu Puan Nur Faizahton binti Fisal, Encik Shrizal bin Shadan, Encik Kamal Maarof bin Abd Jamal, serta YM Tengku Zainal Fitri Tengku Mohamad Fauzi. Penglibatan mereka bukan sahaja melambangkan komitmen terhadap pembangunan modal insan, malah mencerminkan kesungguhan Jabatan Bendahari dalam melahirkan barisan jurulatih dalaman yang mampu memacu transformasi pengurusan kewangan universiti menerusi pendekatan Operational Excellence (OE) secara lebih strategik dan berkesan. Kursus ini menekankan aplikasi metodologi DMAIC Tools Six Sigma (Define, Measure, Analyze, Improve, Control), yang diiktiraf sebagai pendekatan saintifik dalam menyelesaikan masalah operasi. Melalui penguasaan DMAIC, peserta berupaya merungkai isu kompleks, menganalisis data dengan ketepatan, serta membangunkan solusi inovatif yang konsisten dengan agenda penambahbaikan berterusan. Lebih istimewa, kursus turut memperkenalkan sistem Operational Performance & Improvement Reporting (OPIR), sebuah platform moden yang memacu ketelusan, keberkesanan, dan kecekapan dalam pemantauan prestasi universiti secara menyeluruh. Penyertaan Jabatan Bendahari ini seiring dengan Amanat Bendahari UiTM 2025 di bawah Fokus Kedua, Governan dan Kepimpinan, khususnya Strategi ke-2, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, serta Strategi ke-1, memperkukuh penjenamaan Jawatankuasa Dalaman. Dengan penguasaan ilmu OE, pegawai terlibat kini bersedia untuk menjadi agen perubahan, memimpin inisiatif kualiti, dan mengangkat reputasi Jabatan Bendahari sebagai peneraju kecemerlangan pengurusan kewangan universiti. Secara keseluruhannya, kursus ini bukan sahaja memberi ilmu, malah meniup semangat baharu untuk Jabatan Bendahari UiTM terus melangkah jauh dalam memastikan kelestarian, ketelusan, dan kecemerlangan operasi demi kelangsungan universiti ke arah universiti terkemuka dunia. Penulis : SHRIZAL BIN SHADAN Editor : NUR FAIZAHTON BINTI FISAL C.A. (M) |


