Bank Idea Jabatan Bendahari UiTM : Wadah Pemangkin Inovasi dan Transformasi Sejajar Amanat Bendahari 2025

 

 

2 Sept. 2025 - Jabatan Bendahari Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan demi kecemerlangan pengurusan kewangan universiti. Selaras dengan Fokus Kedua – Governan dan Kepimpinan, Strategi ke-4, Amanat Bendahari UiTM 2025, inisiatif Bank Idea diperkenalkan sebagai medium strategik bagi mengarusperdanakan kreativiti warga jabatan.

Seiring aspirasi UiTM menuju organisasi bertaraf global, Bank Idea menjadi platform khusus untuk menghimpunkan cadangan, pandangan dan saranan kreatif daripada semua pemegang taruh, tanpa mengira jawatan mahupun generasi. Ia mencerminkan iltizam jabatan dalam mengamalkan prinsip kebersamaan dan kolaborasi, seiring dengan budaya inovasi dan transformasi digital universiti.

Melalui Bank Idea, setiap warga dan pelanggan berkepentingan diberi ruang menyalurkan idea berhubung penambahbaikan proses kerja, pengurusan perkhidmatan serta strategi baharu yang dapat meningkatkan keberkesanan operasi. Pendekatan ini memperkayakan budaya inovasi sambil membudayakan amalan bottom-up engagement, di mana suara warga diiktiraf dan dipertimbangkan dalam proses membuat keputusan.

Cadangan yang dikumpul akan dinilai berdasarkan keberkesanan, kos dan impak jangka panjang. Idea yang berpotensi seterusnya dilaksanakan dalam bentuk penambahbaikan sistem, pengoptimuman proses kewangan, atau inovasi digital yang menyokong transformasi UiTM ke arah universiti pintar. Inisiatif ini juga menjadi landasan pembangunan modal insan, kerana ia menggalakkan pemikiran kritis, kreativiti, serta rasa tanggungjawab dan kepunyaan bersama (sense of belonging).

 

Secara keseluruhannya, Bank Idea bukan sekadar wadah perkongsian cadangan, tetapi pemangkin utama kepada transformasi berterusan. Ia melambangkan komitmen Jabatan Bendahari UiTM terhadap inovasi, keterangkuman dan kecemerlangan, seterusnya menyokong agenda kelestarian kewangan universiti. Dengan semangat kolaborasi, keterbukaan dan integriti, Jabatan Bendahari beraspirasi menjadi contoh kecemerlangan pengurusan kewangan universiti di peringkat nasional dan global.

Ayuh, kita labur idea, hasilnya kita nikmati bersama!

(Sila klik poster di atas untuk mengemukakan idea anda)

Penulis : Mohd Rafidi bin Mohd Saman CHRO, MMIHRM

Editor : Mohd Zulkamar bin Johari C.A.(M)