
Shah Alam, 28 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan UiTM Happiness Walk 2025 (UHW2025) yang berlangsung dengan penuh meriah di UiTM Shah Alam. Acara ini berjaya menghimpunkan ribuan warga universiti dalam suasana ceria, harmoni dan penuh semangat kebersamaan.
|
Bertemakan “Langkah Ceria, Jiwa Bahagia”, UHW2025 bukan sahaja menjadi medan riadah santai, malah turut mempromosikan gaya hidup sihat dan kesejahteraan warga UiTM secara menyeluruh. Program ini membawa mesej penting tentang keceriaan, kebersamaan dan kesihatan mental-fizikal sebagai asas kecemerlangan komuniti kampus. Walaupun cuaca kurang mengizinkan, sambutan yang diterima amat menggalakkan bagi program julung kali ini. Acara dimulakan dengan pelancaran “University Purple Track” dan sesi senamrobik ringkas, sebelum diteruskan dengan aktiviti briskwalk mengelilingi kampus. Momen paling membanggakan adalah apabila Jabatan Bendahari UiTM diumumkan sebagai Juara Kontinjen Terbaik. Kejayaan ini merupakan hasil daripada komitmen tinggi, semangat kerja berpasukan, serta kreativiti warga jabatan dalam mempersembahkan identiti organisasi yang penuh disiplin, harmoni dan tersusun. Pengiktirafan ini bukan sekadar pencapaian dalam acara santai, malah membuktikan nilai budaya kerja positif yang telah lama diperkukuh dalam Jabatan Bendahari. Penyertaan aktif dalam UHW2025 turut mencerminkan kesungguhan warga jabatan dalam menterjemahkan Amanat Bendahari 2025, khususnya fokus ketiga iaitu Kecemerlangan Modal Insan. Penekanan terhadap keseimbangan kesihatan fizikal, kesejahteraan mental, dan prestasi kerja jelas dizahirkan melalui penglibatan bermakna ini. Lebih daripada itu, kemenangan ini menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga UiTM bahawa kejayaan organisasi bukan hanya diukur melalui pencapaian kerja harian, tetapi juga melalui nilai kebersamaan, kreativiti, serta semangat kolektif warganya. UiTM Happiness Walk 2025 membuktikan bahawa kebahagiaan warga adalah asas penting kepada kelestarian kecemerlangan organisasi. Dengan sokongan padu dan penglibatan aktif seluruh komuniti, UiTM terus melangkah sebagai institusi unggul yang memelihara kesejahteraan warganya sambil mengukuhkan budaya kerja berprestasi tinggi. Penulis : MOHD RAFIDI BIN MOHD SAMAN CHRO, MMIHRM Editor : MOHD ZULKAMAR BIN JOHARI C.A. (M) |


