Lawatan Penanda Aras Sistem Kewangan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Perkukuh Pendigitalan Kewangan Yang Lebih Mampan dan Efisien

 

 

Tanjung Malim, 5 Ogos 2025 – Jabatan Bendahari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah melaksanakan satu Lawatan Penanda Aras Sistem Kewangan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim sebagai satu langkah strategik dalam memperkasa kelestarian sistem kewangan universiti pada masa hadapan.

Lawatan ini diketuai oleh En. Mohd Zulkamar bin Johari, Pengarah Kewangan, Bahagian Akaun dan Sistem Kewangan, bersama seramai 12 pegawai yang terdiri daripada pegawai kewangan dan teknikal. Tujuan utama lawatan ini adalah untuk meninjau pelaksanaan serta membincangkan strategi dan pendekatan baharu yang berpotensi diterapkan di UiTM bagi memperkukuh pengurusan kewangan yang lebih mampan dan efisien.

Selain itu, ia turut memberi fokus kepada usaha meningkatkan kefahaman serta kompetensi dalam pengurusan sistem kewangan universiti selaras dengan kemajuan teknologi dan pelaksanaan automasi proses kewangan.

Delegasi Jabatan Bendahari UiTM telah disambut mesra oleh Tuan Haji Mohamad Najib bin Hj. Mohamed, Bendahari UPSI bersama barisan pengurusan Jabatan Bendahari dan wakil teknikal kewangan UPSI. Pihak tuan rumah telah berkongsi pelbagai maklumat terperinci berkaitan pembangunan serta pelaksanaan sistem kewangan UPSI.

Antara perkongsian utama adalah berkenaan MyFIS Neo, sistem kewangan UPSI yang telah dibangunkan sejak tahun 2020 dan merangkumi 13 modul utama berdasarkan 13 proses kewangan, dengan integrasi ke dalam enam portal utama universiti termasuk sistem maklumat pelajar & rekod akademik, portal vendor, sistem maklumat pentadbiran dan sumber manusia, serta portal universiti lain. Perkongsian ini telah membuka ruang kepada UiTM untuk meneroka pendekatan bersepadu yang lebih moden dan lestari.

Penganjuran lawatan ini juga adalah sejajar dengan Amanat Bendahari 2025, khususnya Fokus Kedua: Governan dan Kepimpinan, di bawah Strategi 2 – Menambahbaik Sistem Kewangan. Strategi ini menekankan keperluan peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta penambahbaikan sistem kewangan secara menyeluruh, efisien dan responsif terhadap arus digitalisasi semasa. Lawatan ini turut membuka peluang kepada delegasi UiTM untuk menilai sistem kewangan yang lebih mesra pengguna dan mampu menjimatkan kos pengurusan universiti.

Selain sesi perkongsian sistem kewangan, delegasi turut dibawa melawat ke lokasi-lokasi strategik UPSI dalam menjana pendapatan universiti, antaranya Adventure Park, yang menawarkan perkhidmatan seperti sewaan tapak perkhemahan (glamping), aktiviti ATV ride, dan Flying Fox dengan pakej yang menarik serta berpatutan.

   

Lawatan turut diteruskan ke UPSI Sport City, yang merangkumi fasiliti seperti kolam renang, padang bola sepak, dan UPSI Super Bowl. Menariknya, kemudahan ini menggunakan sumber tenaga solar melalui pemasangan sistem solar di struktur dewan terbuka dan tempat letak kereta, sekaligus menjadikan UPSI antara pelopor kampus hijau di negara ini.

Secara keseluruhannya, lawatan penanda aras ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kewangan UiTM yang lebih mesra pengguna, efisien dan lestari, selaras dengan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan pengurusan kewangan yang mampan.

Dikarang Oleh : Zizi Itzman Tunot