Program Jalan-Jalan Kemerdekaan : Semarakkan Semangat Patriotik Warga UiTM 2025 – Jabatan Bendahari Komited Membentuk Warga Yang Sihat, Aktif dan Berjiwa Merdeka

 

 

Shah Alam, 6 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam terus menyemarakkan gelombang semangat patriotisme dengan menganjurkan Program Jalan-Jalan Kemerdekaan sempena Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat UiTM Tahun 2025. Program yang berlangsung ini berjaya menghimpunkan warga universiti daripada pelbagai lapisan dalam suasana penuh warna-warni dan sarat dengan semangat nasionalisme. Dengan mengetengahkan pendekatan suasana santai dan sihat, program ini turut menyokong inisiatif Kempen Berjalan 10,000 Langkah UiTM, yang bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif serta memelihara kesejahteraan fizikal dan mental dalam kalangan warga kampus.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, program dimulakan seawal jam 7.40 pagi bertempat di Parkir Stadium, UiTM Shah Alam. Majlis pembukaan diserikan dengan kehadiran YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, Naib Canselor UiTM, yang turut menympaikan ucapan. Dalam ucapan, beliau menekankan kepentingan menanam semangat cintakan negara dalam kalangan warga kampus sebagai asas kepada pembentukan jati diri dan perpaduan nasional. Beliau turut menggalakkan warga menzahirkan semangat cintakan negara melalui pengibaran Jalur Gemilang di pejabat, di kediaman masing – masing serta pada kenderaan masing-masing sebagai simbolik kebanggaan dan kesetiaan pada tanah air.

Program diteruskan dengan acara senamrobik sebagai aktiviti pemanas badan sebelum pelepasan rasmi “Flag-Off” aktiviti Jalan-Jalan Kemerdekaan sejauh 4.5 kilometer yang merentasi sekitar kampus. Laluan ini merangkumi tiga Pit-Stop Merdeka yang sarat dengan pengisian bermakna seperti berikut:

  • Hentian 1 (Kolej Seroja) – Laungan “Merdeka!” bergema lantang, mengimbau semngat dan pejuang kemerdekaan tanah air.
  • Hentian 2 (Air Terjun Canseleri) – Laungan “Saya Anak Malaysia” disusuli dengan pertandingan pakaian patriotik terbaik, memperlihatkan semangat nasionalisme dan kreativiti peserta.
  • Hentian 3 (Kolej Melati) – Peserta menurunkn tandatangan pada Kanvas Jiwa Merdeka sebagai simbolik sokongan dan kecintaan terhadap tanah air.

Antara yang mencuri tumpuan dalam program kali ini ialah penyertaan aktif kontinjen dari Jabatan Bendahari UiTM. Kontinjen ini disertai oleh warga kerja dari pelbagai bahagian dan peringkat perjawatan, yang tampil dengan penuh semangat dalam persalinan bertemakan warna biru dan bertopi merah, selaras dengan warna Jalur Gemilang. Penglibatan kontijen Jabatan Bendahari bukan sahaja memperlihatkan sokongan padu terhadap program universiti, malah menyerlahkan komitmen jabatan dalam menyemarakkan semangat patriotisme melalui amalan kerja seharian. Ia turut menjadi manifestasi sokongan jabatan terhadap usaha universiti dalam membentuk warga kampus yang patriotik, cergas dan bersatu padu.

Lebih penting lagi , penglibatan Jabatan Bendahari dalam program ini adalah sejajar dengan Amanat Bendahari 2025, khususnya Fokus Ketiga: Kecemerlangan Modal Insan, di bawah Strategi 4 – Warga Sihat, Jabatan Bendahari Hebat. Strategi ini menekankan kepentingan membudayakan gaya hidup sihat serta memperkukuh semangat berpasukan dalam kalangan staf bagi menjadikan Jabatan Bendahari sebagai sebuah jabatan yang dinamik, cemerlang dan berdaya saing. Penyertaan ini turut memperlihatkan nilai kekitaan, kerjasama dan kebersamaan yang kukuh dalam kalangan warga Jabatan Bendahari, selaras dengan prinsip integriti dan profesionalisme yang menjadi teras dalam pentadbiran kewangan UiTM.

   

Sepanjang program berlangsung, Jabatan Bendahari yang diketuai oleh Cik Junita Jamaludin, Bendahari UiTM, tampil dengan penuh semangat, serta aktif menyertai pelbagai aktiviti di setiap Pit-Stop Merdeka. Kehadiran mereka bukan sekadar sebagai pelengkap acara, malah menjadi antara penyumbang utama kepada kejayaan dan kemeriahan sambutan melalui sorakan lantang ”Bendahari Ayuh! Merdeka!” yang bergema sepanjang program. Sorakan ini jelas mempamerkan  semangat ‘Warga Sihat, Jabatan Bendahari Hebat’ yang jelas terpancar dengan oenuh bangga sepanjang aktiviti berlangsung.

Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan, dan para peserta beransur pulang sekitar jam 10.30 pagi dengan semangat kemerdekaan yang semakin menyala. Jelas sekali, Program Jalan-Jalan Kemerdekaan 2025 bukan sekadar acara riadah, tetapi juga medan membina semangat nasionalisme dalam suasana santai dan harmoni.

Dikarang Oleh : Mohd Rafidi b Mohd Saman CHRO, MMIHRM