|
Kuala Lumpur, 1 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh jaringan strategik bersama sektor kewangan apabila memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bagi pelaksanaan Business Partnership Programme (BPP) di Menara Bank Islam, Kuala Lumpur. Majlis menandatangani MoU ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin bin Sahib, bersama dengan Director Retail Banking Distribution (RBD), Encik Zamree Mohamed, menandakan komitmen rasmi kedua-dua pihak dalam menjayakan inisiatif tersebut. Kolaborasi ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif pelancaran Kad Visa Debit Alumni (Co-Brand) yang telah diperkenalkan sebelum ini. Menerusi program ini, UiTM dan Bank Islam berhasrat untuk menarik lebih ramai pelanggan khususnya dalam kalangan warga UiTM termasuk staf, pelajar serta orang awam untuk membuka akaun simpanan Al-Awfar dengan Bank Islam. Sebagai insentif kepada penyertaan dalam program ini, UiTM bakal menerima pulangan daripada purata baki bulanan akaun Al-Awfar yang dibuka oleh peserta BPP sepanjang tempoh kerjasama yang berlangsung selama tiga (3) tahun. Dalam majlis menandatangani MoU ini, pihak Bank Islam turut menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM200,000 kepada UiTM, sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank tersebut ke arah pembangunan pendidikan dan kebajikan warga universiti. Selaras dengan Amanat Bendahari UITM Tahun 2025 dibawah fokus kemampanan kewangan universiti. Usaha ini mencerminkan hubungan erat antara institusi pendidikan dan sektor perbankan Islam di mana ia dapat membantu UiTM menjana pendapatan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar UiTM. UiTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bank Islam atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan, dan berharap kolaborasi ini akan memberi manfaat yang berpanjangan kepada semua pihak yang terlibat. Dikarang Oleh : Mohd Zamir bin Ab Rahim |


