Kunjungan Hormat CEO Affin Bank Kukuhkan Kerjasama Strategik Bersama UiTM

 

 

 

Shah Alam, 30 Julai 2025 – Jabatan Bendahari Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad (Affin), Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin, bersama delegasi kanan bertempat di Bahagian Perolehan dan Aset, UiTM Shah Alam.

Kunjungan selama hampir dua jam ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hubungan strategik antara UiTM dan Affin. Sepanjang sesi pertemuan, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai perkara termasuk status semasa perkhidmatan perbankan, cadangan penambahbaikan kemudahan sedia ada, serta perkembangan program kerjasama strategik yang sedang berjalan.

Perbincangan turut membuka ruang kepada peluang kerjasama baharu yang berpotensi memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak dalam jangka masa panjang.

Pihak Jabatan Bendahari merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Affin atas kesediaan untuk terus menjalin kerjasama yang mampan demi manfaat bersama. Antara Kerjasama yang dibincangkan adalah kerjasama dari segi sumbangan Endowmen daripada Affin bagi manfaat jangka panjang dalam memperkasa agenda Endowmen.

Kunjungan ini sejajar dengan Amanat Bendahari UiTM 2025, Fokus Pertama, Kemampanan Kewangan Universiti di bawah inisiatif Strategi Pertama, mewujudkan hubungan strategik dengan pemegang taruh dan Strategi Ketiga, Penjanaan Pendapatan. Inisiatif ini jelas menyokong usaha UiTM dalam menjalin kerjasama strategik dengan sektor korporat untuk memperluas sumber kewangan universiti secara berdaya tahan dan lestari.

Sinergi antara UiTM dan Affin Bank ini, diharap akan terus diperkukuh melalui pelbagai kerjasama seperti zakat, wakaf dan endowmen yang bukan sahaja memberi impak positif kepada universiti, malah turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara secara amnya.

Dikarang Oleh : Mohd Zamir b Abd Rahim