Kursus Pengurusan Jenazah : Bersediakah Kita?

 

 

16 Julai 2025, Shah Alam – Seramai 100 orang staf dari Jabatan Bendahari telah menghadiri Kursus Pengurusan Jenazah di Dewan Muktamar 1, Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Latihan dan Pembangunan Bakat, Jabatan Bendahari UiTM. Kursus ini bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman yang mendalam kepada para staf mengenai proses pengurusan jenazah mengikut hukum syarak.

Program dimulakan seawal jam 9.00 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku, Wawasan Setia Warga UiTM, serta bacaan doa bagi memohon keberkatan dan kelancaran program. Seterusnya, ucapan aluan telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Latihan dan Pembangunan Bakat, Encik Mohd Zulkamar bin Johari. Kursus diteruskan dengan ceramah oleh Ustaz Ismail bin Hashim, Pegawai Eksekutif (Imam), Bahagian Hal Ehwal Islam UiTM, seorang penceramah bertauliah dan pakar dalam bidang fiqh jenazah.

Dalam ceramah beliau, para peserta didedahkan kepada konsep fardu kifayah dalam pengurusan jenazah, hukum-hakam berkaitan, serta adab-adab mengurus jenazah dengan sempurna.

Sesi diteruskan dengan latihan amali yang dikendalikan oleh dua orang fasilitator berpengalaman, iaitu Ustaz Mohd Bakri bin Aminuddin, Kerani HEI (Bilal), dan Ustazah Aniza binti Mohamed Izahar, fasilitator luar yang mendapat tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor. Latihan ini melibatkan simulasi lengkap proses pengurusan jenazah, termasuk memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah.

Para peserta telah dibahagikan kepada kumpulan kecil mengikut jantina bagi memastikan setiap individu mendapat peluang mencuba serta memahami setiap langkah secara lebih dekat dan terperinci.

Menurut Encik Mohd Zulkamar bin Johari, kursus ini sangat penting dalam membentuk diri yang bersedia untuk membantu dalam urusan fardu kifayah.

“Ilmu ini perlu dipelajari oleh semua, tidak kira usia. Kita tidak tahu bila dan siapa dalam kalangan ahli keluarga atau jiran tetangga yang akan memerlukan bantuan. Sekurang-kurangnya, dengan ilmu ini, kita tidak panik dan mampu membantu dengan tertib dan betul,” katanya dalam ucapan alu-aluan beliau.

Berikutan maklum balas yang positif daripada para peserta, penceramah dan fasilitator mencadangkan agar satu kursus susulan diadakan, khusus bagi memantapkan kemahiran praktikal pemandian jenazah, agar peserta lebih mahir dan bersedia apabila diperlukan.

Dikarang Oleh : Mohd Zulhasmi bin Md Hanif