
Shah Alam, 8 Julai 2025 – Satu majlis ringkas namun penuh bermakna telah diadakan bagi meraikan dan menghargai pencapaian cemerlang warga Jabatan Bendahari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang telah terpilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024. Majlis penyerahan surat penghargaan ini telah berlangsung di Bilik Sidang, Aras 3, Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam.
|
Seramai 19 orang warga Jabatan Bendahari telah menerima surat penghargaan tersebut sebagai tanda pengiktirafan atas kecemerlangan, dedikasi, komitmen dan prestasi kerja yang luar biasa sepanjang tahun penilaian 2024. Penghargaan ini adalah suatu penghormatan kepada warga Jabatan Bendahari yang sentiasa memberikan prestasi kerja yang tinggi serta menyumbang kepada kemajuan universiti secara keseluruhan. Majlis penyerahan disempurnakan oleh Cik Junita bt Jamaludin C.A.(M), ACMA, CGMA, Bendahari UiTM, yang turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua penerima atas sumbangan serta pencapaian luar biasa mereka. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pencapaian ini bukan sahaja membanggakan individu yang menerima, malah menjadi inspirasi kepada seluruh warga jabatan untuk terus berusaha ke arah budaya kerja cemerlang. Beliau juga menzahirkan rasa bangga dan penghargaan kepada semua penerima, sambil menekankan bahawa kejayaan organisasi bergantung kepada sumbangan individu yang sentiasa berusaha melangkaui jangkaan. “Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga motivasi untuk kita terus mengekalkan momentum kecemerlangan dalam menyokong misi dan visi universiti,” ujar beliau. Majlis ini turut menjadi platform untuk memperkukuh semangat berpasukan, menjunjung nilai integriti dan meningkatkan motivasi warga kerja Jabatan Bendahari agar terus menyumbang dengan lebih berkesan dalam menyokong visi dan misi Universiti. Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Bendahari dalam menghargai sumbangan tenaga kerja serta mengekalkan budaya kecemerlangan dalam tadbir urus kewangan universiti. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama Bendahari UiTM, Pengurusan Kanan Jabatan Bendahari dan para penerima APC, sebagai tanda kenangan di atas pencapaian yang membanggakan ini. Suasana penuh mesra dan harmoni jelas terpancar sepanjang majlis berlangsung. Diharapkan penghargaan ini akan terus menyemarakkan semangat kerja yang proaktif dan berintegriti dalam kalangan warga jabatan. Sila klik pluginFb di sebelah untuk melihat poster penerima. |
Dikarang Oleh : Mohd Rafidi bin Mohd Saman CHRO,MMIHRM


