Shah Alam, 2 Julai 2025 – Program Kontraktor Berintegriti Mencorak Masa Depan Industri Pembinaan telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini bertempat di Dewan Mawar Qaseh, Kolej Kediaman Mawar, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Program bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu telah dianjurkan oleh Bahagian Perolehan dan Aset, Jabatan Bendahari dengan kerjasama pihak Jabatan Pembangunan UiTM dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia yang menghimpunkan pelbagai pemain industri pembinaan dalam usaha memperkukuh nilai integriti dalam sektor pembinaan. Program tersebut telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan dan Infrastuktur UiTM, Ir. Ts. Azman Saubiran dan Pengarah Negeri CIDB Selangor, Pn Heryanti Hilmi.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta pemahaman para kontraktor terhadap kepentingan integriti, ketelusan dan amalan perolehan beretika dalam melaksanakan projek-projek pembinaan. Turut ditekankan ialah keperluan untuk mematuhi prosedur serta undang-undang yang berkaitan agar kelangsungan projek pembinaan negara dapat dijamin dengan lebih cekap dan berdaya tahan terutama berkaitan Akta 520 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan.
Program ini dimulakan dengan sesi penerangan oleh En. Zahidi Hashim, Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Levi CIDB berkaitan pematuhan kepada Akta 520. Kemudian disusuli dengan penerangan berkaitan pendaftaran kontraktor oleh En. Erwan Brow, Pengurus Pendaftaran Kontraktor dan Personel Binaan CIDB yang membincang peraturan dan isu-isu berkaitan pendaftaran kontraktor di Malaysia.
Program ini turut menyelitkan sesi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui sesi dialog sebagai manifestasi menolak rasuah oleh pihak kontraktor. Sesi dialog tersebut telah disempurnakan oleh Encik Mohd Hafiz Ramlee, Pengarah Bahagian Integriti UiTM selaku moderator dan PPj Tuan Azuan bin Adzhar, Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Negeri Selangor selaku wakil jemputan dari SPRM. Pelbagai soalan dan maklumbalas berkaitan isu-isu integriti yang sering berlaku telah dibangkitkan oleh peserta program bagi memastikan sesi tersebut dijalankan secara dua hala.
Program diakhiri dengan sesi Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh peserta. Bacaan ikrar telah diketuai oleh wakil syarikat, En. Mohd Fakhrul Azizi Bin Abdul Kadir, juga merupakan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF Malaysia) Negeri Selangor disusuli dengan menandatangani Borang Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dihadapan wakil SPRM.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta, yang terdiri daripada kontraktor pelbagai gred. Kehadiran mereka jelas membuktikan komitmen dan kesungguhan pemain industri pembinaan dalam menjunjung prinsip integriti sebagai asas kejayaan jangka panjang industri.
Sila klik pluginFb di bawah untuk melihat foto.