Lawatan Susulan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Berhubung Pematuhan SAGA Terhadap Sistem Aplikasi Perakaunan Jabatan Bendahari UiTM

 

 

Shah Alam, 27 Februari 2025 – Jabatan Bendahari Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menerima lawatan susulan daripada pihak Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) bagi tujuan penilaian pematuhan Sistem Aplikasi Perakaunan dan Kewangan terhadap kriteria Standard Accounting System for Government Agencies (SAGA).

Lawatan yang diketuai oleh Ketua Unit SAGA dan delegasi JANM ini merupakan sebahagian daripada proses pemantauan berterusan dan proses akhir penilaian terhadap pelaksanaan Sistem Aplikasi Perakaunan yang digunakan oleh Jabatan Bendahari UiTM, bagi memastikan ia memenuhi keperluan dan piawaian ditetapkan di bawah garis panduan SAGA. Ia juga bertujuan untuk menilai tahap kesediaan dan menilai keberkesanan serta keselarasan Sistem Aplikasi Perakaunan UiTM dalam menerima pengiktirafan Sijil Pematuhan SAGA.

Sesi lawatan ini telah dimulakan dengan taklimat pembukaan oleh wakil Pengurusan Jabatan Bendahari UiTM dan diikuti dengan pembentangan terperinci oleh Pengarah Kewangan Bahagian Akaun dan Sistem Kewangan berhubung struktur, modul, serta fungsi sistem aplikasi perakaunan yang sedang digunakan. Turut diperincikan adalah aspek integrasi sistem, kawalan dalaman, pengurusan data kewangan, dan pematuhan terhadap keperluan pelaporan serta peraturan perakaunan sektor awam.

Pihak JANM telah menjalankan sesi semakan dokumen, pemerhatian langsung terhadap sistem, dan sesi soal jawab bersama pegawai pelaksana sistem dan pengguna utama. Tumpuan utama turut diberikan kepada tahap keselamatan sistem, kebolehkesanan transaksi, serta keselarasan proses dengan kehendak Malaysian Public Sector Accounting Standards (MPSAS).

Secara keseluruhannya, lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM melalui Jabatan Bendahari dalam memastikan ketelusan dan integriti pengurusan kewangan universiti berada pada tahap tertinggi. Ia juga menjadi satu langkah penting ke arah memperoleh Sijil Pematuhan SAGA, sekali gus mengukuhkan kredibiliti institusi dalam pengurusan sumber awam.

Hasil daripada lawatan dan penilaian menyeluruh tersebut, Jabatan Bendahari UiTM telah berjaya mencapai tahap pematuhan penuh terhadap garis panduan dan kriteria yang ditetapkan di bawah SAGA. Sebagai pengiktirafan rasmi, UiTM telah dianugerahkan Sijil Pematuhan SAGA pada 11 April 2025 oleh pihak JANM — satu pencapaian signifikan yang mengesahkan kecekapan, integriti dan ketelusan pengurusan kewangan universiti melalui sistem aplikasi yang digunapakai.

Penganugerahan ini membuktikan iltizam berterusan UiTM dalam memperkukuh tadbir urus kewangan institusi selaras dengan amalan terbaik sektor awam. Ia juga mencerminkan komitmen Jabatan Bendahari dalam memastikan sistem perakaunan universiti sentiasa mematuhi peraturan dan dasar kerajaan serta menyokong pelaksanaan sistem kewangan yang efisien, berakauntabiliti dan telus.

UiTM melalui Jabatan Bendahari merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak JANM atas sokongan, nasihat dan kerjasama yang berterusan sepanjang proses pemantauan dan penilaian dijalankan. Pencapaian ini menjadi pemangkin kepada usaha penambahbaikan berterusan dalam memperkukuh sistem kewangan universiti ke arah pengurusan sumber yang lebih berkesan dan berintegriti selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik serta pematuhan terhadap dasar-dasar kewangan kerajaan.

 Sila klik pada pluginFb di sebelah untuk melihat foto.