Lawatan Penanda Aras Jabatan Bendahari UiTM Ke Jabatan Bendahari Universiti Utara Malaysia (UUM) Bagi Memperkasa Tadbir Urus Kewangan Universiti

 

 

Sintok, Kedah – Jabatan Bendahari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan satu Lawatan Penanda Aras ke Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 17 hingga 19 Jun 2025 bertempat di Kampus Induk UUM, Sintok. Lawatan ini melibatkan penyertaan seramai 14 orang pegawai dari pelbagai seksyen dalam Jabatan Bendahari UiTM yang diketuai oleh Ketua Timbalan Bendahari UiTM, YBrs. Puan Noor Alzura binti Alang Idris.

Tujuan utama lawatan ini adalah untuk menjalin jaringan kerjasama strategik dan bertukar pandangan serta amalan terbaik (best practices) dalam pengurusan kewangan universiti awam. Antara fokus utama yang dibincangkan ialah pendigitalan sistem kewangan, pengurusan hasil, pengurusan bayaran, pengurusan pelajar, pengurusan perolehan, pematuhan kepada tatacara kewangan, serta strategi memperkasa integriti dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan.

Sepanjang lawatan, delegasi UiTM telah disambut mesra oleh Pihak Pengurusan Jabatan Bendahari UUM yang diketuai oleh YBrs. Puan Zabanun binti Ibrahim, Ketua Akauntan. Sesi taklimat dan pembentangan telah diadakan dengan penerangan mengenai proses dan sistem kewangan utama yang digunakan oleh Jabatan Bendahari UUM iaitu Financial Information Management System (FIMS) dan sistem sokongan, serta pendekatan inovatif UUM dalam pengurusan kewangan universiti.

Selesai sesi pembentangan, delegasi turut dibawa melawat sekitar UUM bagi melihat kemudahan-kemudahan yang disediakan seperti kemudahan penginapan pelajar (INASIS), Varsiti Mall, serta ruang dan peluang untuk menjana pendapatan yang boleh diadaptasi di UiTM.

Menurut Puan Noor Alzura, lawatan ini amat bermakna dan dapat memberi nilai tambah kepada usaha transformasi berterusan Jabatan Bendahari UiTM dalam memastikan perkhidmatan yang ditawarkan lebih efisien, telus dan berintegriti. “Kami percaya amalan terbaik yang dipelajari di UUM boleh dijadikan inspirasi dalam menambah baik proses kerja dan sistem penyampaian di UiTM,” katanya.

Lawatan ini turut memberi peluang kepada warga kerja Jabatan Bendahari UiTM untuk membina hubungan profesional dan meningkatkan pemahaman terhadap keperluan semasa pengurusan kewangan sektor pendidikan tinggi, seiring dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus institusi awam.

Secara keseluruhannya, lawatan ini telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan dan diharapkan akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti perkhidmatan kewangan di UiTM melalui pembelajaran silang dan perkongsian pintar antara universiti.

Sila klik plugin siaran di sebelah untuk melihat foto.