Bengkel Pengemaskinian Dokumen Prosedur ISO Jabatan Bendahari UiTM : Usaha Berterusan Ke Arah Penambahbaikan Kualiti Perkhidmatan

 

Shah Alam, 16 Jun 2025 – Jabatan Bendahari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan Bengkel Pengemaskinian Dokumen Prosedur ISO bertempat di Dewan Al-Ghazali, Bangunan Wawasan, UiTM Shah Alam. Bengkel ini merupakan salah satu inisiatif strategik jabatan dalam usaha memperkemas dan menambah baik dokumen prosedur kerja selaras dengan keperluan piawaian ISO dan kehendak Sistem Pengurusan Kualiti UiTM.

Bengkel ini menghimpunkan pegawai-pegawai dari pelbagai bahagian dan unit di Jabatan Bendahari seperti Bahagian Perolehan dan Aset, Akaun dan Sistem Kewangan, Pentadbiran, Dasar dan Kualiti, Akaun Amanah, Penyelidikan, Belanjawan dan lain-lain. Tujuan utama bengkel adalah untuk melakukan semakan, penambahbaikan serta pemurnian terhadap prosedur kerja selaras dengan penstrukturan Jabatan agar lebih relevan, efisien dan sesuai dengan peraturan semasa yang digunapakai oleh warga Jabatan Bendahari.

Antara aspek yang diberi penekanan termasuklah pematuhan kepada keperluan standard ISO yang dikemaskini, manual proses kerja, penetapan tanggungjawab yang tepat, analisa risiko serta penambahbaikan dari segi dokumentasi dan rekod. Proses ini turut mengambil kira maklum balas daripada audit dalaman kendiri serta hasil analisis keberkesanan proses dan maklumbalas pelanggan yang telah dilaksanakan.

Bengkel telah dimulakan dengan sesi taklimat penerangan oleh Timbalan Bendahari, Puan Najihan binti Sadali @ Talib C.A.(M) selaku Pegawai Dokumen mewakili Pengerusi Jawatankuasa ISO Jabatan Bendahari di mana beliau menekankan keperluan pengemaskinian dokumen ISO dan kepentingan pengurusan dokumen yang sistematik dan terkini bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan Bendahari sentiasa cekap, telus dan memenuhi keperluan pelanggan. Beliau turut menyeru semua peserta untuk memberi fokus sepenuhnya dalam bengkel ini agar hasil yang diperoleh benar-benar memberi impak kepada mutu penyampaian perkhidmatan.

Peserta bengkel telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut bidang fungsi masing-masing untuk meneliti dan menambah baik setiap prosedur berkaitan. Sesi bengkel ini akan dilaksanakan secara bersiri yang akan diteruskan bersama Pengurusan Kanan Jabatan Bendahari yang dijadualkan pada bulan Julai nanti.

Penganjuran bengkel ini menunjukkan komitmen berterusan Jabatan Bendahari UiTM dalam memastikan amalam penambahbaikan berterusan (continual improvement) dan budaya tadbir urus yang cemerlang. Ia juga seiring dengan aspirasi universiti untuk memupuk nilai kebersamaan pegawai dalam memastikan sistem pengurusan kewangan yang berkualiti ke arah pengurusan kewangan yang telus dan berintegriti.

Hasil dari bengkel tersebut, kesemua dokumen yang telah dimurnikan akan melalui proses semakan akhir dan pembentangan untuk kelulusan di dalam Mesyuarat Kaji Semula Pengurusan (MKSP). Diharapkan usaha ini dapat meningkatkan keberkesanan operasi Jabatan Bendahari secara keseluruhan dan memberi nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan kewangan yang lebih sistematik dan komprehensif.

Sila klik pada pluginFb di sebelah untuk melihat foto.